Adat Ke Laut

KATA pepatah biar mati anak jangan mati adat. Adat ke laut masih lagi diamalkan oleh para pelaut. Ia diwujudkan semata-mata sebagai adat untuk menjamin kesejahteran para pelaut. Adanya adat ini dikatakan dapat menjamin keselamatan para pelaut semasa mereka berada di tengah lautan atau semasa menangkap ikan di laut.

Kebanyakan adat ini masih lagi diamalkan, cuma bezanya ialah amalan dahulu dan sekarang. Adat dahulu yang kekal hingga sekarang telah pun dipermudahkan.

Dalam kehidupan seharian orang Melayu di pesisiran pantai, laut merupakan nadi utama kepada mereka. Ia amat penting bagi punca rezeki masyarakat Melayu di kawasan tersebut. Kehidupan masyarakatnya adalah saling berkait dengan laut dan laut menjadi medan kehidupannya.

Oleh sebab terdapat beberapa kepentingan terhadap laut, maka timbullah beberapa kepercayaan yang berhubung dengan laut, sehingga masyarakat tersebut mempercayai bahawa laut adalah 'satu dunia lain' yang perlu dipatuhi adat dan peraturannya. Dalam hal ini, maka wujudlah berbagai-bagai adat yang berhubung dengan laut. Daripada beberapa jenis adat yang terdapat dan paling ketara diamalkan pada masa dahulu ialah adat 'main pantai'.

Upacara main pantai ini dilakukan bertujuan sebagai satu tradisi penyembahan terhadap semangat laut. Ia diadakan pada setiap tahun dan telah menjadi satu tuntutan kepada para pelaut untuk mengendalikannya.

Adat ke laut paling dipatuhi memandangkan adat tersebut ada kepentingannya kepada para pelaut. Sekiranya tidak dipatuhi, maka dijangkakan satu bencana akan menimpa mereka. Bertolak dari kepercayaan ini, amalan tersebut perlu dipatuhi oleh setiap pelaut.

Antara beberapa petua atau pantang larang yang perlu dipatuhi semasa hendak ke laut adalah seperti adat dan persiapan diri semasa turun ke laut, adat menurunkan perahu baru, adat menurunkan pukat, upacara penyemahan, adat semasa berada di tengah lautan dan peranan juragan.


ADAT DAN PERSIAPAN DIRI SEMASA TURUN KE LAUT

Seseorang pelaut yang mahu ke laut hendaklah turun sebelum matahari terbit. Mereka juga dilarang bercakap besar semasa berada di rumah. Selain itu, mereka juga tidak boleh berpatah balik apabila telah turun dari rumah untuk menuju ke laut. Jika mereka melanggar pantang larang ini, dipercayai bencana akan menimpa.


ADAT MENURUNKAN PERAHU BARU

Perahu yang baru siap dan pertama kali akan diturunkan ke laut hendaklah disemah terlebih dahulu oleh pawang. Pawang akan menyediakan peralatan yang diperlukan bagi tujuan tersebut. Pawang akan menjampi perahu tersebut dengan mengelilingnya sebanyak tiga atau tujuh kali. Adat Ini dilakukan bertujuan untuk menjaga keselamatan pelaut yang menggunakan perahu tersebut semasa berada di tengah laut supaya tidak mendatangkan bencana kepada penggunanya.


ADAT MENURUNKAN PUKAT

Setiap pukat baru yang akan digunakan di laut akan disemah terlebih dahulu. Upacara penyemahan tersebut juga akan dilakukan oleh seorang pawang. Pawang akan menyemah dan menjampi pukat tersebut dan menggunakan beberapa kaedah tertentu dalam upacara tersebut. Adalah dipercayai bahawa dengan berbuat demikian pukat tersebut akan mendapat hasil tangkapan yang lumayan.


UPACARA PENYEMAHAN

Upacara penyemahan dilakukan serentak dengan adat turun kelaut yang dilakukan oleh pawang. Kesemua peralatan yang diperlukan disediakan oleh pawang yang akan mengendalikan upacara tersebut. Peralatan yang disediakan diletakkan di dalam sebuah perahu layar dan kemudian dimasukkan ke dalam perahu tersebut. Apabila upacara penyemahan tersebut telah selesai, maka layar perahu akan dihanyutkan ke laut.


ADAT SEMASA BERADA DI TENGAH LAUTAN

Semasa berada di tengah lautan terdapat beberapa pantang larangnya yang tersendiri yang mesti dipatuhi. Awak-awak atau anak kapal tidak boleh berkelakuan kasar dan bercakap besar. Mereka hendaklah mematuhi arahan ketua mereka. Jika mereka tidak mematuhi arahan ketua atau bergaduh dipercayai mereka akan mendapat bencana. 


PERANAN JURAGAN

Juragan adalah ahli dalam bidang pelayaran. Ia merupakan seorang pawang dan juga ketua dalam setiap kumpulan. Peranan juragan adalah besar dan dia juga akan menyelam ke dasar laut untuk mengetahui tentang adanya ikan atau sebagainya.

Kini tradisi ini masih lagi diamalkan namun tidaklah meluas. Bagi sesetengah pelaut amalan ini perlu dilakukan memandangkan ia dapat menjamin kesejahteraan mereka semasa berada di tengah lautan.

back