Adat Mendirikan Rumah Baru


UNTUK mendirikan rumah, orang Melayu pada zaman dahulu mengambil kira beberapa aspek dan pantang larang tertentu dan ini meliputi memilih tapak binaan, meletakkan tiang seri, mendirikan tiang seri dan upacara meletakkan tangga dan pintu masuk.

Masyarakat Melayu pada masa dahulu mempercayai bahawa sesebuah rumah tidak boleh dibina di tempat sembarangan kerana dikatakan ia akan membawa akibat yang tidak baik. Menurut kepercayaan, rumah tidak boleh didirikan di kawasan yang rendah atau mudah ditenggelami air kerana pada hujung lidah tanah (di mana air bertakung) dipercayai tempat hantu syaitan berkumpul dan boleh mendatangkan mudarat pada isi rumah.Tempat-tempat yang ada kolam atau telaga, perlu ditimbus seberapa segera. Begitu juga jika terdapat banyak tunggul kayu. Ia mesti dibuangkan kerana dipercayai ia akan menjadi tempat menjamu serta memuja hantu syaitan.

Sesebuah rumah juga tidak boleh dibina di tempat orang lalulalang kerana dipercayai akan mendatangkan mudarat. Oleh itu untuk menentukan tempat yang sesuai bagi memulakan kerja-kerja pembinaan tapak sesebuah rumah perlu dibuat. Selain itu, tapak yang dianggap tidak sesuai untuk pembinaan ialah tapak laluan jin dan tapak panahan halilintar.

Tapak laluan jin biasanya menjadi laluan utama jin dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia dianggap berpuaka dan berpenunggu. Manakala tapak panahan halilintar dipercayai tidak sesuai kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada penghuni rumah berkenaan.


MELETAK TIANG SERI

Tiang rumah tidak boleh didirikan sembarangan dan ia mesti didirikan pada hari yang ditetapkan, kalau tidak ia akan mendatangkan akibat yang tidak baik. Pada hakikatnya semua bulan adalah baik kecuali bulan Safar kerana dianggap bulan yang mendatangkan bala.

Hari yang baik untuk mendirikan rumah adalah seperti berikut:
1.Pada 1 haribulan disebut 'rejang kuda'. Pada hari ini Allah telah menjadikan Nabi Adam. Sebarang pekerjaan yang dilakukan pada hari ini dianggap baik.
2.Pada 2 haribulan disebut 'rejang kijang'. Pada hari ini menjadikan Hawa. Pada hari ini semua pekerjaan adalah baik.
3.Pada 3 haribulan disebut 'rejang harimau'. Hari ini dianggap tidak sesuai untuk mendirikan rumah.
4.Pada 4 haribulan pula disebut 'rejang kucing'. Pada hari inilah Allah menjadikan iblis.
5.Pada 5 haribulan dinamakan 'rejang sipai'. 
6.Pada 6 haribulan dikenal juga sebagai 'rejang kerbau'. Hari ini adalah baik.

Apabila penentuan daripada segi hari selesai dilakukan, pawang akan menentukan pula masa yang baik untuk mendirikan rumah.
1.Hari Ahad-Pagi hari lebih kurang pukul 9.00 atau 10.00 pagi atau pada waktu asar dan maghrib.
2.Hari Isnin-Ketika matahari naik, waktu asar dan akhir waktu asar.
3.Hari Selasa-Ketika hampir tengah hari, waktu asar dan tampak bayangan.
4.Hari Rabu-Ketika hampir tengah hari, waktu zuhur dan matahari naik.
5.Hari Khamis-Waktu subuh, waktu dua bayangan dan waktu tengah malam.
6.Hari Jumaat-Pada awal pagi, tengah hari dan waktu asar.
7.Hari Sabtu-Waktu terbit matahari dan waktu maghrib

MENDIRIKAN TIANG SERI

Sebelum adat ini berlangsung, upacara sembahyang hajat dilakukan. Kemudian kenduri diadakan bertujuan untuk mengambil berkat. Untuk menghalau hantu dan syaitan beberapa jenis bahan disediakan dan dimasukkan ke dalam lubang tiang seri tersebut.

Kesemua bahan yang disediakan digaul dengan tanah di dalam lubang. Kemudian dijirus dengan sebatil air kelapa dan cuka. Dengan itu matilah segala hantu pada tiang dan tempat itu.

Pada bahagian atas tiang dilapik dengan kain yang mengandungi beberapa warna. Warna-warna tersebut ialah putih yang melambangkan kesucian, hitam, kuning untuk istana sahaja, merah melambangkan perjuangan, ungu, hijau dan merah malar.

Biasanya kain putih dilukiskan dengan 'barisan laksamana' satu sistem nombor tertentu. Ini adalah untuk menjauhkan daripada sebarang bencana buruk kepada penghuni rumah.