Adat Membuka Tanah Baru


MASYARAKAT Melayu dahulu merupakan kelompok masyarakat yang kuat berpegang kepada adat istiadat. Kepercayaan dan amalan telah menjadi lumrah bagi melaksanakan sesuatu perkara, misalnya pada waktu hendak membuka tanah hutan untuk dijadikan ladang atau tempat kediaman, maka haruslah melalui upacara tertentu.

Upacara yang dijalankan bukan sahaja dilakukan oleh sekelompok individu, malahan individu lain juga mengamalkannya.

Kekerapan dan kepatuhan masyarakat melakukan sesuatu upacara seumpamanya telah menjadikan upacara tersebut sebagai adat yang mesti dilakukan. Justeru ini adat ini terus kekal dan diamalkan oleh setiap masyarakat dahulu dan sekarang.

Dalam pekerjaan seharian bagi masyarakat di kawasan pedalaman, membuka tanah adalah usaha pemilikan harta yang perlu dilakukan. Dalam hal ini sesuatu perkara yang dilakukan itu mempunyai tertib dan tatacaranya. Misalnya dalam adat pembukaan tanah, masyarakat Melayu dahulu akan melakukan upacara khas.


KEPERCAYAAN BERHUBUNG DENGAN SEMANGAT HUTAN

Masyarakat Melayu dahulu mempercayai bahawa setiap sesuatu mempunyai semangat yang tersendiri begitu juga dengan hutan yang masih belum diteroka. Berbagai-bagai kepercayaan timbul berhubungan dengan semangat hutan. Kepercayaan ini bukan sahaja diamalkan oleh sebahagian masyarakat tetapi umum mengetahuinya.

Dalam hutan dara yang belum diteroka oleh manusia dipercayai menjadi tempat tinggal makhluk ghaib dan hantu atau sebagainya yang dianggap keras. Kepercayaan wujudnya kuasa ghaib ini telah menyebabkan satu upacara perlu dilakukan demi untuk kesejahteraan orang yang akan membuka tanah hutan tersebut.

Hutan juga merupakan halaman jin, iaitu tempat tinggal semula jadi mereka. Sekiranya manusia mengganggu tempat tinggal jin tentulah jin akan bertindak balas dan boleh mendatangkan bencana dan sebagainya. Oleh kerana takut diganggu oleh kuasa ghaib ini, maka perlulah dilakukan upacara tertentu sebagai mencari persetujuan dan memohon izin daripada penunggu hutan tersebut untuk membuka tanah berkenaan.

Kadang kala hutan yang belum diterokai menjadi tempat laluan Jin jadi sekiranya tidak dilakukan sesuatu upacara tertentu sebagai menghalau atau memindahkan jalan laluannya, maka dipercayai kuasa ghaib tersebut boleh menyebabkan orang yang cuba membuka tanah itu jatuh sakit dan sebagainya.


PERANAN PAWANG DALAM UPACARA MEMBUKA TANAH HUTAN

Pawang merupakan salah satu institusi yang penting di dalam masyarakat Melayu. Pawang bukan sahaja mengubati orang mengubati orang sakit tetapi juga menjadi ketua kepada upacara adat yang dijalankan.

Peranan pawang di dalam masyarakat Melayu dahulu sangat meluas. Pawang menjadi orang sanjungan masyarakat dan tidak hairanlah pawang diberi penghormatan dalam melaksanakan sesuatu adat atau majlis.

Dalam adat membuka tanah hutan, pawang merupakan tokoh penting yang melaksanakan segala-galanya. Pawang akan melaksanakan dari mula hingga akhir. Dari pemilihan hari sehinggalah kepada tanah hutan tersebut ditanam dengan tanaman.

Pawang terlebih dahulu hendaklah diberitahu tentang hutan yang hendak diteroka. Orang yang akan meneroka hutan tersebut akan pergi bersamanya untuk melihat hutan itu. Tinjauan ini dilakukan untuk melihat kedudukan tapaknya. Pawang akan dapat merasai sejauh mana kekuatan penunggu di hutan tersebut apabila dia berada di kawasan berkenaan.

Pada peringkat meninjau ini pawang akan menasihatkan orang yang bakal meneroka hutan tersebut supaya menyediakan segala bahan untuk melakukan upacara adat membuka hutan.

UPACARA MEMBUKA TANAH/PENYEMAHAN

Dalam upacara membuka tanah atau diikenali juga sebagai upacara menyemah ini, pemilihan hari adalah penting. Kalau dalam adat istiadat lain, hari Selasa merupakan hari yang kurang baik, tetapi bagi upacara membuka hutan, hari Selasa dan Khamis adalah sangat baik.

Adat ini dilakukan pada waktu pagi, iaitu lebih kurang jam 8.00 pagi. Pawang akan berada di atas rumah bakal peneroka tanah hutan tersebut. Segala bahan yang telah disediakan oleh tuan rumah diberikan pada pawang untuk dijampi. Pawang akan menjampi bahan tersebut yang diletakkan di dalam dulang dengan 'jampi pengeras'. Jampi pengeras ini bertujuan untuk mencekalkan hati dan diri pawang juga orang yang akan turun sama ke hutan supaya tidak lemah semangat atau pengsan diganggu kuasa ghaib semasa dalam perjalanan ke pinggir hutan.

Setelah selesai upacara jampi pengeras tersebut, pawang akan turun tangga sambil diikuti oleh rombongan yang akan membuka tanah tersebut. Di belakang mereka telah siap dengan kelengkapan menebas dan menebang. Seorang daripada mereka akan membawa dulang yang mengandungi bahan kelengkapan ke pinggir hutan.

Apabila sampai di pinggir hutan yang akan diteroka, maka pawang akan memerintahkan supaya rombongan duduk bercangkung. Pada masa ini pawang akan memulakan tugasnya untuk melaksanakan adat membuka hutan. Pawang akan me-ngambil bertih sekepal dan dijampi, kemudian sebahagiannya ditaburkan ke tanah bermula dari kanan ke kiri.

Bahan kelengkapan diletakkan di hadapan pawang yang bersila diatas tanah, kemudian dijampi lagi. Setelah upacara jampi dilakukan, kesemua bahan yang terdapat di dalam dulang tersebut akan dipindahkan ke dalam upih pinang.

Upih pinang tersebut diambil hanya lebih kurang dua hasta sahaja bagi tujuan ini. Bahan tersebut diletakkan pada pangkal pokok sebagai sajian kepada penunggu hutan, dan tinggalkan disitu untuk selama-lamanya.

Setelah pawang berbuat demikian, dia akan mengambil parang dan mula menebas hutan tersebut. Setelah hutan ditebas lebih kurang sedepa, maka pawang akan mengerahkan orang lain melakukannya.

Pawang pada kelazimannya akan bersama-sama menebas dan menebang pada hari permulaannya. Hari-hari berikutnya si peneroka bolehlah menebas dan menebang sendiri.


UPACARA SELEPAS HUTAN DIBUKA

Pada kelazimannya setelah selesai kerja menebas dan menebang dilakukan, maka upacara penyembelihan kambing akan dilakukan di atas tanah tersebut.

Si peneroka akan menyediakan seekor kambing untuk disembelih di atas tanah tersebut sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan meneroka hutan tanpa sebarang gangguan. Pawang akan melakukan upacara penyembelihan tersebut mengikut cara Islam, tetapi setelah kambing tersebut disembelih, tiada siapa pun dibenarkan mengambil mana-mana anggota kambing tersebut sebelum pawang mengarahkan berbuat demikian.

Beberapa bahagian anggota kambing tersebut diambil sebagai persembahan kepada penunggu hutan. Antara bahagian-bahagian yang diambil ialah hujung lidah, sedikit kuku kambing, sedikit ekor kambing bersama bulu, sedikit hujung telinga, scdikit hujung tanduk dan sedikit darah. Bahagian anggota ini dimasukkan ke dalam tempurung dan pawang tersebut akan menjampinya dan diletakkan di pinggir hutan yang masih belum lagi diteroka. Bahagian kambing yang lain boleh dibawa pulang.

Upacara tersebut dilakukan adalah sebagai tanda terima kasih kepada penunggu yang tidak membawa padah atau bencana kepada si peneroka.

Kini adat-adat seumpama ini tidak dilakukan oleh masyarakat Melayu. Mereka tidak mempraktikkannya atau mengamalkannya lagi oleh kerana adat ini bertentangan dengan akidah agama Islam.