HUKUM FEQAH

 

Tidak Khusyuk dalam Solat

Soalan :

 Apakah hukum khusyuk dalam solat? Adakah batal solat jika tidak khusyuk?

Jawapan :

Tidak khusyuk di dalam solat mempunyai beberapa makna :

- Tidak khusyuk kerana seseorang itu banyak bergerak ketika solat seolah-olah dia bukan berada di dalam solat, seperti menggaru-garu badannya, melihat jam, berpaling, membetulkan serbannya, dan lain-lain seperti yang sering kita lihat.

Semua ini adalah pergerakan yang membatalkan solat kerana ia sia-sia, tidak lahir daripada seorang muslim yang mahu mengadap Tuhannya dengan hati dan seluruh fikirannya, juga tidak lahir daripada muslim yang menghormati solat dan merasa sedar akan nilainya.

- Tidak khusyuk kerana pergerakan yang sedikit sahaja, fikiran melayang atau hati tidak hadir dalam solat. Walaupun ini tidak membatalkan solat, tetapi ia menghilangkan rohnya. Roh solat adalah khusyuk.

 

Zakat Tempat Simpan Barang?

Soalan :

 Seorang peniaga yang mengeksport barang menyediakan peti dan bekas untuk menyimpan dan mempamerkan barang-barangnya. Adakah bekas-bekas yang digunakan untuk tujuan tersebut dikenakan zakat?

Jawapan :

Ulama’ fikah menjelaskan bahawa yang dikenakan zakar itu adalah harta perniagaan, iaitu barang-barang yang telah dikhususkan untuk perniagaan. Ini bermakna barang-barang itu berpindah-pindah daripada seorang kepada seorang yang lain untuk dijual.

Sekiranya ada barang-barang yang tidak diniatkan untuk dijual, ia tidak dikenakan zakat. Contohnya ialah bekas atau tempat yang disediakan untuk meletak barang-barang jualan. Sekalipun ia adalah bangunan kedai yang ada di dalamnya meja, alat timbangan dan sebagainya, ia tidak dinilai dalam pengeluaran zakat kerana ia bukan untuk dijual. Semua ini tidak dikira sebagai modal perniagaan dalam hitungan zakat.

Zakat barang perniagaan didasarkan kepada beberapa perkara berikut :

Harta-harta pindah yang ada di dalam perniagaan, barang-barang yang hendak dijual dan hutang-hutang pelanggannya yang ada harapan untuk dibayar dikenakan zakat. Sebaliknya, barang-barang tetap yang tidak dijual tidak dikira.

Jadi apa yang diambil kira ialah sama ada sesuatu barang itu untuk dijual atau tidak. Bekas yang digunakan untuk meletak barang-barang dagangan jika tidak dijual, tidak dikenakan zakat, tapi apabila dijual bersama barang itu ia wajib dikeluarkan zakat.

 

Bila Kanak-kanak Boleh Berpuasa?

Soalan:

 

Bilakah kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh berpuasa?Adakah had umur tertentu yang digariskan oleh syarak?

Jawapan:

Sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

 

“Diangkat pena itu kerana tiga perkara:Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa,orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Makna ‘diangkat pena’ itu adalah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Agama Islam menjaga sifat semulajadi manusia.

Namun, kanak-kanak harus dilatih sejak kecil lagi supaya mahir melakukan ibadat dan taat kepada Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

 

“Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.”

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud )

Puasa juga dikira ibadat dan kewajipan seperti solat. Kita wajib melatih anak-anak menunaikan ibadat ini. Tahap umur berapakah latihan ini mesti dilakukan? Tidak semestinya semasa umur kanak-kanak itu tujuh tahun kerana puasa lebih susah daripada solat. Terpulang kepada kemampuan kanak-kanak tersebut.

Jika bapa atau penjaganya mendapati kanak-kanak itu sudah mampu berpuasa,bolehlah dia melatih anaknya berpuasa beberapa hari pada setiap bulan, setahun demi setahun. Misalnya, dalam setahun dia melatihnya berpuasa sebanyak tiga hari, pada tahun yang berikutnya selama seminggu, seterusnya dua minggu dan sehingga sebulan penuh. Apabila dia telah baligh dan ditaklifkan berpuasa, tidak lagi susah untuk mengerjakan puasa kerana sudah biasa dan mahir sebelum ini. Inilah cara Islam melatih kanak-kanak sejak dari kecik lagi dengan adab Islam dan kewajipan –kewajipannya.

*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld.1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990

 

Permainan di Funfair

 

Soalan :

Di funfair, biasanya pemain membayar sejumlah wang, kemudian dia menggunakan kecekapan atau kemahirannya untuk memasukkan gelang dalam paku, atau menembak sasaran, contohnya, jika masuk atau kena, dapat hadiah dan sebagainya.

  1. Adakah permainan-permainan seumpama ini dikira judi atau tidak?
  2. Apakah dhawabit (sebab) untuk menentukan ia judi?
  3. Ada pihak mengatakan jika ia menguji kemahiran, bukan judi.

 

Jawapan :

Definasi judi atau al-maisir dalam bahasa Arab bermaksud sesuatu permainan yang menggunakan wang sebagai taruhan; atau setiap permainan yang disyaratkan padanya seseorang yang menang akan memperolehi sesuatu daripada yang kalah; atau sesuatu permainan yang mengandungi sebarang taruhan dan orang yang menang berhak mendapat taruhan tersebut. Inilah maksud daripada kalimah `maisir' dalam surah al-Baqarah: 219 dan al-Maidah: 90-91.

Apa yang dimaklumi memang judi itu memberi manfa'at kepada pemenangnya, tetapi menimbulkan bencana dan malapetaka kepada yang kalah. Jumhur ulama' kita sepakat tentang definasi judi ialah taruhan. Adanya taruhan ini merupakan illat (sebab) haramnya judi itu. Oleh itu setiap permainan yang mengandungi unsur taruhan adalah benar-benar al maisir dan haram melakukannya.

Menjawab soalan anda, apakah permainan di funfare itu judi ?Jawabnya : Ya, ia adalah judi.

Apakah dhawabitnya? Jawab : Ia ada melibatkan wang pertaruhan.

Bagaimana dengan dakwaan ia permainan yang menguji kemahiran? Jawabnya: Musabaqah atau pertandingan kemahiran itu diharuskan jika ia tidak melibatkan taruhan (gamble); atau jika mendapat hadiah (baik berupa wang atau piala atau barang berharga) yang ditawarkan itu hendaklah disediakan oleh pemimpin atau pemerintah atau badan tertentu atau daripada salah seorang yang bertanding. Jika kesemua yang bertanding itu bertaruh (wang atau valuables), maka diklasifikasikan sebagai judi juga.

Konsep judi dan musabaqah (pertandingan yang sihat) ini perlu difahami kerana judi pada akhir zaman datang bukan namanya judi tapi dengan jenama yang indah umpamanya sports toto atau loteri kebajikan, atau funfare games. Ini adalah nama-nama yang direka untuk menutup jenayah al-maisir dan keburukannya yang amat sangat kepada manusia.

 

Rujukan :

Dr Mustafa al Bugho, Fiqh al-Manhaji

Mufti Brunei DS, Fatwa Mufti Brunei 1999

 

 

Sunat Qabliyah & Tahiyatul Masjid

 

Soalan :

Seorang datang ke masjid ketika mendengar azan subuh. Apabila sampai di masjid, beliau hendak melaksanakan solat sunat, tetapi difikiran tertanya-tanya kerana pada ketika itu beliau boleh melaksanakan dua solat sunat, iaitu sunat tahiyatul masjid dan juga sunat subuh (qabliah). Jika nak di buat kedua-dua solat tersebut masanya tak mengizinkan. Persolannya, manakah lebih afdhal antara kedua-dua solat tersebut?

Jawapan :

Disunatkan mengerjakan solat dua rakaat bagi orang yang memasuki masjid. Ia dinamakan dengan solat Tahiyatul Masjid, iaitu solat menghormati masjid. Maksud menghormati adalah mengagung tuan masjid (Allah).

Sabda Rasulullah : "Apabila salah seorang kamu masuk ke masjid, jangan duduk sehingga solat dua rakaat." (Riwayat al-Jamaah daripada Abi Qatadah, dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah)

Kesunahan melaksanakan solat Tahiyatul Masjid akan luput dengan duduk yang lama, atau duduk sekejap dalam keadaan dia tidak lupa dan tahu tentang kesunnahannya.

Mengenai soalan saudara, saya nukilkan petikan kitab jawi klasik Furu' Masa'il, karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (vol.1 hal. 93). Saya terjemahkan secara bebas : Soal: Adakah mendapat fadilat tahiyatul masjid dengan mengerjakan sembahyang fardhu atau sembahyang sunat qabliyah Subuh atau Zohor? Apakah ketika mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat qabliyah itu perlu diniatkan kedua-duanya, niat sembahyang fardu / qabliyah dan niat sembahyang Tahiyatul Masjid ? Ataupun tak perlu niat, hanya niat sembahyang fardu / qabliyah sahaja untuk mendapatkan fadilat Tahiyatul Masjid?

Jawab: Untuk mendapatkan fadhilat Tahiyatul Masjid, tidak perlu berniat tahiyatul masjid ketika mengerjakan sembahyang fardhu / qabliyah. Inilah pendapat yang muktamad.

Dalam kes yang saudara hadapi, saudara tidak perlu mengerjakan solat Tahiyatul Masjid. Memadai dengan mengerjakan qabliyah Subuh. Dengan mengerjakannya, saudara akan memperoleh fadhilat tahiyatul masjid.

Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan: "Mengerjakan solat fardu atau lainnya (solat sunat), dapat menggantikan solat Tahiyatul Masjid dan, tak perlu niat Tahiyatul Masjid." al-Feqh al-Islami wa Adillatuh, Wahbah Zuhaily

 

 

Aurat Solat

 

Soalan :

Apakah hanya memakai kain pelikat dikira sah sembahyang sedangkan kalau dipandang dari arah bawah (kaki keatas) tentu auratnya terbuka dan ketika rukuk akan kelihatan aurat (sekiranya kain yang dipakai dibawah paras aurat)? Apakah pakaian terbaik untuk mengelakkan aurat kita dapat dilihat dari arah atas atau bawah?

Jawapan :

Definasi aurat menurut bahasa ialah kekurangan. Menurut istilah syarak pula ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat. Aurat adalah salah satu daripada syarat sah solat. Menurut ijma’ ulama’, aurat itu wajib ditutup dalam semua keadaan sama ada di dalam di luar solat. Hanya, bentuk penutupan itu sahja yang berbeza-beza menurut keadaan-keadaan tertentu..

Firman Allah: “Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat). (al-A’raf : 31) Rasulullah bersabda: “Allah tidak menerima sembahyang perempuan yang telah baligh tanpa tudung kepala.” (Riwayat al-Hakim)

Mengenai masalah yang saudara tanyakan, jawapannya adalah:

1. Aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah.

2. Apabila seseorang itu memakai kain yang singkat, kemudian ketika rukuk atau sujud terlihatlah auratnya, apakah batal sembahyangnya? Sebagai jawapannya, Syeikh Daud al-Fatany telah di tanya : Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa ruku’ dan sujud terlihat auratnya. Orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?

Syeikh Daud menjawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas. (Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathany, Furu’ al-Masa’il, vol. 1, hal. 76, cet. Darul Fikr)

3. Tentang mahu memakai pakaian apa dan bagaimana caranya adalah terpulanglah kepada kita. Asalkan dapat menutup batas-batas aurat yang telah ditetapkan di dalam sembahyang. Sehingga, jika bersembahyang dengan tidak memakai baju, hanya pakai kain pelikat dengan menutup anggota aurat asasi sahaja, ia sudah dikira sah sembahyangnya! Walaupun sah sembahyangnya, tetapi dari segi adab antara makhluk dan al-Khaliq dikira sebagai sangat tidak patut.

 

 

Lauh Mahfuz

 

Soalan :

Bolehkah ustaz beritahu apakah maksud Lauh Mahfuz ?

Jawapan :

Ini adalah termasuk dalam bab membicarakan perkara-perkara ghaibiyat (alam ghaib) yang kita tidak ada banyak ilmu atau maklumat tentangnya. Al-Qur'an menerangkannya hanya sekali sahaja dalam ayat 21-22 surah al-Burooj. Maksud ayat, "Bahkan yang didustakan mereka itu ialah al-Qur’an yang mulia; yang tersimpan dalam Lauhul Mahfudz."

Mufassir terkemuka abad ini, al-Marhum Sayyid Qutb tidak berminat menerangkan apakah ia dan di manakah Lauh Mahfudz itu, memadailah diserahkan misteri alam ghaib ini kepada Allah. Mufassir terkemuka seperti Imam Abul Fida' Ismail ibn Kathir (Tafsir Ibn Kathir) meriwayatkan beberapa keterangan daripada sahabat tentang Lauh Mahfuz, antaranya :

1. Daripada Hasan al-Basri: “Pada sisi Allah, terletak Lauh Mahfudz, dari situlah diturunkan daripadaNya kehendakNya terhadap siapa yang dikehendaki daripadaNya.”

2. Daripada Ibn Abi Hatim, "Tiada sesuatu yang ditentukan oleh Allah melainkan ditentukan terlebih dahulu dalam Lauh Mahfudz baik al-Qur'an, apa yang sebelumnya atau yang sesudahnya."

Hanya setakat itulah maklumat yang sampai kepada kita tentang misteri Lauh Mahfudz itu dan memadailah setakat itu yang kita patut tahu. Daripada ilmu yang sedikit inilah datangnya pencarian malam Lailatul Qadr. Seluruh Malaikat berpesta melihat al-Qur'an diturunkan dari Lauh Mahfudz di alam ghaib buat pertama kalinya pada malam Lailatul Qadr. (Syeikh Mutawalli Sya'rawi, Mu'jizatul Qur'an)

Kesimpulannya, Lauh Mahfudz berada di alam ghaib, tiada siapa yang tahu rupa bentuknya. Kita tidak dituntut untuk memerah akal mencarinya. Oleh itu, Lauh Mahfudz, Sidratul Muntaha, pohon Zakum dan Khuldi, roh, alam kubur, daripada jenis apa tongkat Musa diperbuat, serunai sangkakala, siapakah Nabi Khaidir, ‘Arasy, Kursi Allah dan sebagainya adalah termasuk dalam alam ghaibiyat yang tidak mampu dicapai oleh ilmu manusia.

 

 

Asal Kejadian Syaitan Dan Iblis

Soalan :

 

Apakah asal kejadian syaitan dan iblis?

Jawapan :

Bila kita menyebut tentang syaitan dan iblis, tidak sempurna rasanya jika tidak disebut sekali gandingannya, iaitu jin.

Para ulamak berbeza pendapat mengenai asal-usul jin, syaitan dan iblis. Hasan al-Basri berpendapat bahawa jin adalah anak iblis, manakala manusia adalah anak Adam. Sebahagian dari mereka (jin) ada yang beriman dan ada yang kafir. Yang kafir itu disebut sebagai syaitan.

Ibnu Abbas pula berpendapat bahawa jin itu adalah anak jaan (jin). Mereka bukanlah dari kalangan syaitan. Mereka akan mati, sebahagiannya mukmin dan sebahagiannya kafir. Syaitan pula adalah anak iblis. Mereka tidak akan mati kecuali bersama iblis.

Qatadah berkata bahawa dari kalangan jin itu ada syaitan dan dari kalangan manusia juga ada syaitan.

Al-Dumairi berpendapat bahawa yang masyhurnya ialah semua jin itu dari zuriat iblis. Mereka yang kufur dari kalangan jin disebut sebagai syaitan.

Menurut al-Marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadil Haq (bekas Syeikh al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikkan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan kerosakkan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka adalah dari kalangan jin juga.

Kembali kepada persoalan tentang asal kejadian syaitan dan iblis – juga jin -, mereka ini diciptakan dari api. Ini dijelaskan oleh firman Allah Taala di dalam surah al-Hajar: 26 &27. Wallhu a'lam

 

Rujukan :

 

Buhus Wa Fatawa Islamiah Fi Qadhaya Mu'asharah - al-Marhum Syeikh Jadul Haq Ali Jadil Haq

 

Menyimpan Patung

 

Soalan :

 

Apakah hukum menyimpan patung dalam Islam?

Jawapan :

Agama Islam mengharamkan patung jika menyerupai benda hidup seperti manusia atau haiwan. Tahap haramnya bertambah apabila patung (atau rupa) makhluk yang dipuja-puja seperti raja atau nabi,umpama al-Masih atau al-Azraa’ dan tuhan-tuhan berhala yang lain termasuk patung lembu.

Islam amat mengambil berat tentang penjagaan tauhid. Apa sahaja yang boleh menjejaskan akidah tauhid, maka Islam terus menutup pintu ke arahnya.

Ada yang menganggap perkara itu cuma wujud pada masa penyembahan berhala pada masa dahulu. Sekarang ini sudah tiada berhala lagi atau beribadat menyembahnya. Anggapan ini tidak benar kerana masih ada pada zaman ini orang yang menyembah patung, lembu dan biri-biri.

Mengapa kita mahu menafikan realiti yang ada; di Eropah masih ada orang yang menyembah berhala dan manusia masih lagi mempercayai khurafat. Akal manusia pula ada kelemahan yang kadang-kala masih menerima sesuatu perkara yang tidak logik. Seseorang yang berpelajaran juga ada kalanya terjebak ke dalam perkara-perkara yang batil dan karut yang tidak dipercayai walaupun oleh orang yang buta huruf.

Islam amat berhati-hati dan mengharamkan segala yang membawa kepada penyembahan berhala atau pun terhidu baunya. Justeru, ia mengharamkan patung-patung.

Patung-patung orang Mesir kuno termasuk dalam kategori ini. Barangkali sesetengah orang menggantung patung-patung ini sebagai tangkal untuk menghalang hasad dengki, usikan jin atau makhluk halus. Dalam hal ini, bertambah haramlah kerana keharaman tangkal bercampur dengan keharaman patung.

Patung hanya diharuskan untuk permainan kanak-kanak sahaja. Selain daripada itu, hukumnya haram dan setiap orang Islam mesti menjauhinya.

 

 

Solat di Gereja

 

Soalan :

Adakah harus seorang Muslim solat di gereja jika tiada tempat lain untuk mengerjakannya seperti di negara Eropah ?

Jawapan :

Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Aku akan beri lima perkara yang aku tidak pernah beri kepada sesiapa.” Lalu baginda pun menyebutkan salah satu daripada lima perkara tersebut : “Aku jadikan tanah ini sebagai masjid dan tempat yang bersih,, sesiapa yang ingin bersembahyang, maka bersembahyanglah.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, seluruh muka bumi ini adalah masjid untuk orang Islam dan tempat untuk sujud dan bersembahyang. Maksudnya, harus seseorang itu bersembahyang di atas tanah. Lebih elok baginya untuk mengelak tempat-tempat begini (gereja) kerana dikhuatiri berlaku syubhat.

Namun, jika dia tidak mendapati sebarang tempat kecuali gereja, lalu dia bersembahyang di situ, tidak mengapa baginya kerana muka bumi ini milik Allah dan boleh menjadi masjid atau tempat sujud bagi setiap orang Islam.

Saidina Umar hampir-hampir bersembahyang di sebuah gereja apabila disuruh berbuat demikian, tetapi beliau berkata: “Tidak, aku tidak akan bersembahyang di sini, nanti orang lain akan berkata: Umar telah mengerjakan sembahyang di sini, lalu mereka menganggapnya sebagai tempat bersembahyang bagi orang Islam”.

Oleh itu, tegahan ini hanyalah kerana kekhuatiran sedemikian, bukan kerana ia gereja.

*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld. 1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990

 

MEMEGANG AL-QUR’AN DALAM SOLAT

 

Soalan :

Kami lihat ramai orang yang sembahyang terawikh dan membaca al-Qur’an sambil memegang mashaf al-Quran di tangan mereka. Kemudian mereka meletakkannya di dalam baju mereka atau di atas kerusi dan kemudiannya diambil sekali lagi. Apakah pandangan agama tentang perkara ini ?

Jawapan :

Memang diketahui bahawa membaca sedikit daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah adalah sunat pada dua rakaat yang pertama dalam sembahyang, sama ada sembahyang berimam atau bersendirian. Jikalau ditinggalkan membacanya, sembahyang itu sah, tetapi kurang pahalanya.

Sekiranya orang yang bersembahyang itu hendak membacanya, eloklah membaca apa yang dihafalnya walaupun diulang pada setiap rakaat dan sembahyang. Namun, apabila hendak membaca ayat yang tidak dihafal, tentu memerlukan kepada mashaf al-Qur’an, jadi adakah harus berbuat demikian?

Diriwayatkan oleh Imam Malik bahawa Zakuan, hamba kepada Saiyidah ‘Aisyah telah menjadi imam pada bulan Ramadhan dan membaca dengan melihat al-Quran. Ini tidak mengapa menurut pendapat mazhab Syafie’, bersyaratkan tidak melakukan pergerakan yang membatalkan sembahyang seperti meletakkan al-Qur’an, kemudian memegang dan membuka untuk membacanya.

Jikalau dilakukan dengan tiga pergerakkan berturut-turut tanpa berhenti, maka sembahyang itu batal. Kadang-kadang meletak al-Qur’an di atas sesuatu yang tinggi di hadapan imam untuk membacanya dapat mengurangkan pergerakkan dan tidak perlu menyelak muka surat al-Qur’an dengan terlalu banyak. Ini kerana kurang menyelak muka surat tidak membatalkan sembahyang. Al-Nawawi telah menyatakan dalam al-Majmu’ “…dan jikalau menyelak muka surat al-Qur’an sekali sekala tidak membatalkan sembahyang.”

Al-Fatawa wa al-Ahkam, Syeikh ‘Atiah Saqar, Ketua Lujnah Fatwa al-Azhar, Mesir

 

HAID & NIFAS

 

Soalan :

Persetubuhan dengan isteri semasa haidh seperti yang diketahui umum adalah jelas hukumnya haram. Sekiranya hubungan tersebut terjadi juga, adakah kesalahan tersebut dikenakan apa-apa kifarat (denda).

Berapakah tempoh nifas orang yang beranak?

Jawapan :

Haram hukumnya menyetubuhi isteri dalam haidh baik di awal, pertengahan, di akhir atau bila haidh sudah kering (belum mandi). Dalilnya ialah Surah alBaqarah ayat 222 (Janganlah kamu mendekati mereka hingga mereka bersih). Sebarang kifarat tidak ditetapkan jika terlanjur bersetubuh, tetapi hendaklah bertaubat dan beristighfar (Fiqh Islami)

Madzhab Syafi'iy antara madzhab yang paling teliti dalam membuat penyelidikan mengenai tempoh nifas. Madzhab Syafi'iy menggunakan metod istiqro' (kajiselidik) dalam menentukan tempoh nifas. Dalam keadaan luar biasa, ada wanita yang melahirkan anak tanpa nifas. Tempoh minima (nifas) bagi kes seperti ini ialah satu detik. Tempoh normal nifas ialah 40 hari, manakala tempoh abnormal ialah 60 hari. Manakala Syaikh Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah) berpendapat tiada tempoh minima dan maksima, jika sudah yakin kering, maka mandi dan solatlah seperti biasa.

 

BEZA ANTARA AIR MANI DAN MAZI

Soalan:

 

Sila jelaskan perbezaan antara air mazi dan air mani dan hukum bersuci keduanya?

Jawapan :

Air mani: Air yang keluar dari kemaluan ketika memuncak syahwat.

Terdapat tiga tandanya, iaitu:

  1. Mani mempunyai bau seperti bau adunan roti atau mayang kurma ketika basah. Dan berbau seperti bau telur ketika kering.
  2. Keluarnya memancar dengan agak tersendat. Firman Allah: "Dari air yang memancar." (Al-Thariq:6)
  3. Merasa lazat ketika keluar dan sesudahnya, serta mengalami kekenduran zakar dan syahwat menjadi lemah.

Tidak perlu ada ketiga-tiga tanda di atas, cukup dengan salah satu darinya sahaja untuk menetapkan bahawa yang keluar itu adalah mani. Tanda-tanda mani perempuan sama dengan lelaki sebagaimana di atas. Menurut al-Nawawi di dalam syarah Muslim: Tidak disyaratkan keluar memancar bagi perempuan.

Hukumnya: Suci, tidak najis menurut mazhab Syafi'i.

Cara cucinya: Disunatkan membasuh

Air mazi: merupakan air berwarna putih yang keluar tanpa membuak pada saat memuncaknya nafsu seseorang ataupun ketika teringat persetubuhan.

Hukumnya: Najis. Dalilnya ialah hadis Ali riwayat syaikhani: "Hendaklah dia membasuh zakarnya dan berwuduk."

Cara cuci: Seperti mencuci najis mutawassitah.

 

Rujukan:

 

Kifayatul Akhyar, vol 1, Syeikh Taqiyudin Abu Bakar Muhamad al-Husaini

 

Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, vol. 1, Dr Wahbah al-Zuhaili.

 

Kepimpinan Wanita

Soalan :

Apakah Islam menghalang wanita daripada kepimpinan?

Jawapan :

Islam tidak melarang wanita menjadi pemimpin. Tidak ada nas yang qat'iy (tetap) yang melarang wanita menceburi politik dan kepimpinan umat.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan: Wanita yang tidak dikurniakan anak, jika mempunyai anak masih mempunyai lebihan waktu dan kekuatan, ilmu dan kebijaksanaan; juga wanita yang mencapai usia hampir 50an atau wanita yang tidak lagi diganggu oleh sifat semulajadinya; atau wanita yang mana anak-anaknya sudah berumah tangga atau wanita yang telah mencapai kematangan dari sudut usia dan pengalaman, atau memiliki kelapangan yang boleh dimanfa'atkan untuk tugasan umum kemasyarakatan....maka apakah yang menghalang wanita menceburi politik dan kepimpinan umat?

Ijma' fuqaha berpendapat maksud kepimpinan umum yang dilarang keatas kaum wanita ialah menjadi Ketua Negara atau Imam atau Khalifah sahaja. tetapi dalam bidang selain itu seperti kepimpinan dalam ijtihad dan fatwa, pentadbiran sektor awam dan swasta, wanita sebagai hakim dan memberi saksi adalah dibenarkan.

Oleh itu wanita boleh menjadi menteri, menjadi hakim, ahli parlimen atau pengawas umum badan-badan penting negara (seperti perlantikan Al-Syifa' binti Abdullah al-Adawiah sebagai penguasa pasar (macam Datuk Bandar KL).

 

Sujud Syukur & Tilawah

Soalan :

Bagaimanakah untuk melakukan sujud syukur dan juga sujud tilawah?

Jawapan :

1. Sujud Tilawah : sujud kerana membaca atau mendengar ayat sajdah; Tatacara: jika berada dalam solat, hendaklah bertakbir dan sujud, kemudian bertakbir untuk bangun dari sujud dan sambung solat spt biasa. Jika berada di luar solat, menghadap kiblat, niat, takbir, sujud, memberi salam.

2. Sujud Syukur: sujud terima kasih kerana di beri nikmat atau dihindar daripadfa bahaya. Ia hanya dilakukan di luar solat. Syarat dan tatacara sama seperti sujud tilawah. (Ruj : Fiqh Sunnah)

 

Tangkal & Azimat

 

Soalan :

Apa pandangan mengenai tangkal dan azimat mengikut pandangan Islam?

Jawapan :

Tangkal dan Azimat sudah dikenali oleh masyarakat Arab jahiliyah lagi dengan pelbagai nama dan istilah; antaranya tamimah (batu-batu permata yang dipakai pada badan anak-anak mereka); wad'ah (kulit siput atau kerang laut yang juga dijadikan tangkal); ada nama raqeeqah, dsbnya. Kesemua tangkal dan azimat yang bukan dari al-Qur'an atau sunnah yang wurud (diterima dari Nabi saw) adalah haram.

Berbeza pula jika tangkal dan azimat atau jampi mentera dari ayat al-Qur’an atau al-Hadis. Di sini fuqaha' berselisih tentang keharusannya. Imam Jalaludin as-Suyuti itu semua diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut:

i. Ia diperbuat dari ayat-ayat al-Qur'an, nama Allah atau Sifat-Nya;

ii. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan difahami maksudnya; dan

iii. Pemakainya hendaklah beri'tikad bahawa tangkal itu tidak ada kesan dengan sendirinya, melainkan dengan izin Allah jua. Ruj : Imam alBanna (Syarah Usyul Asyrin)

 

Azan Sebelum Waktu Subuh

Soalan :

Adakah harus melaungkan azan satu jam atau setengah jam sebelum fajar siddiq dan haruskah juga Muazzin menyebut : “Sembahyang itu lebih baik daripada tidur?”

Jawapan :

Sebenarnya azan berfungsi sebagai alat pemberitahuan masuknya waktu sembahyang. Sudah semestinya masuk waktu dahulu sebelum muazzin melaungkan azan.

Oleh itu, melaungkan azan sebelum waktunya tidak dikira kerana ia tidak memenuhi tujuan azan itu, kecuali ketika sembahyang subuh. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bilal (bin Rabah) akan melaungkan azan disebelah malam, maka makanlah dan minumlah hingga Ibnu Ummi Maktum pula yang azan.”

Ini bererti ketika Bilal azan harus bagi orang Islam bersahur, makan dan minum sehinggalah Ibnu Maktum melaungkan azan manandakan masuk waktu sembahyang.

Hadis ini disepakati oleh para ulama’ kerana waktu fajar sebenarnya adalah waktu tidur dan semua manusia pada masa itu sedang nyenyak tidur. Mereka perlu diberitahu terlebih dahulu sebelum masuk waktu supaya mereka akan tersedar dan bersedia. Orang yang berpuasa boleh bersahur pada waktu itu dan mengejutkan orang yang sedang tidur seperti yang dilakukan oleh Bilal dan Ummi Maktum.

Apabila orang ramai mendengar Bilal melaungkan azan, tahulah mereka bahawa dia azan sebelum masuk waktu untuk menyedarkan orang yang tidur dan memberi peluang bersahur kepada orang yang berpuasa.

Apabila mereka mendengar Ibnu Ummi Maktum pula melaungkan azan, maka tahulah mereka yang waktu subuh telah masuk dan bolehlah bersembahyang sunat sebelum menunaikan sembahyang fardhu subuh.

Dalam azan yang pertama disunatkan agar tidak menyebut “Sembahyang itu lebih baik daripada tidur.

Ini adalah satu perbezaan yang penting yang dapat membezakan diantara azan yang pertama dengan azan yang kedua. Azan dalam bentuk ini di syara’kan pada waktu fajar dan orang ramai akan kenal suara azan pertama dan suara yang lain pada azan kedua.

Oleh itu, para ulama’ mengharuskan azan yang pertama sebelum masuk waktu fajar.

*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld.1, Dar al-Salam, Kaherah, 1990

 

 

Nama Anak Luar Nikah & Anak Angkat

Muzakarah kali pertama, 6 Mac 1978 mengambil keputusan berikut :

i. Anak zina atau anak luar nikah, sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah.

ii. Anak angkat dibin atau dibintikan kepada bapa asalnya. Ini berdasarkan firman Allah: yang bermaksud : ’Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa mereka sendiri”

 

Zakat Wang KWSP

Muzakarah kali kelima, 16-17 November 1982 mengambil keputusan berikut :

Wang Kumpulan Simpanan Pekerja bagi pekerja-pekerja Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haulnya, iaitu setahun setelah penerimaanya.

* Himpunan Fatwa Kebangsaan

 

MENGALIR AIR MANDI HADATH

Soalan :

 

Saya ada kemusykilan tentang mandi hadas besar / wajib. Saya ada membaca satu buku yang mengatakan air yang kita guna mestilah air yang mengalir.

Jawapan :

Maksud mengalir ialah mengalirkan air ke tubuh badan. Ini berbeza dengan menyapu air dan merenjis air. Kita mengambil air dengan satu bekas, kemudian dijiruskan ke tubuh badan atau objek lain. Ini termasuk di dalam kata mengalirkan air.

Kita mencelupkan tangan kita pada air lalu kita sapukan ke objek tertentu; ini namanya menyapukan air, bukan mengalirkan air. Sebagaimana wajib menyapu sebahagian kepala pada wuduk. Kita mencelupkan air kemudian kita renjiskannya pada objek tertentu, ini namanya merenjiskan air, bukan mengalirkan air. Merenjiskan air boleh dilakukan ketika membasuh air kencing kanak-kanak lelaki yang belum mencecah usia 2 tahun, serta belum memakan apa-apa kecuali air susu ibunya.

Ketika berwudhuk kita wajib mengalirkan air pada muka, dua tangan dan dua kaki. Manakala ketika mandi wajib, wajib mengalirkan air pada seluruh anggota tubuh badan. Tidak boleh dengan menyapu atau merenjis sahaja.

Saudara ambil satu bekas, kemudian jiruskan/siram ke kepala contohnya, air itu sekalipun sedikit, pasti akan berjalan dan menjalar ke tempat-tempat lain. Ini maksud mengalirkan air.

 

Rujukan :

 

Kifayatul Akhyar, vol 1, Syeikh Taqiyudin Abu Bakar Muhamad al-Husaini

 

Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, vol. 1, Dr Wahbah al-Zuhaili

 

 

BIDADARI SYURGA

Soalan :

 

Saya ingin mendapatkan kepastian, iaitu samada ‘bidadari’ (di dalam Syurga) itu adakah bermaksud wanita sahaja?

Jawapan :

Firman Allah Taala:

"Mereka di sana mempunyai isteri-isteri yang suci, dan kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman." (al-Nisaa':57)

FirmanNya lagi:

"Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari)langsung, dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh kecintaan lagi sebaya umurnya." (al-Waqi'ah: 35-37)

Allah menciptakan mereka tanpa melalui kelahiran, dan secara langsung menjadi seorang gadis. Di syurga tidak ada perempuan yang tua. Semuanya muda remaja dan sebaya. Perempuan yang di dunia mati ketika berusia tua, nanti disyurga akan diubah menjadi gadis belia yang cantik, menarik dan sebaya usianya.

Rujukan:

Anta Ta'al Wa Islam Yujib, Syeikh Sya'rawi

Semuanya muda remaja dan sebaya. Perempuan yang di dunia mati ketika berusia tua, nanti disyurga akan diubah menjadi gadis belia yang cantik, menarik dan sebaya usianya.

 

Rujukan:

 

Anta Ta'al Wa Islam Yujib, Syeikh Sya'rawi

 

Memakai Rambut Palsu

Soalan :

 

Apakah hukumnya memakai rambut palsu? Bagaimana pula pendapat sesetengah orang yang menyangka rambut palsu adalah penutup aurat rambutnya yang asal kerana rambut wanita itu aurat?

Jawapan :

Islam mensyariatkan bagi lelaki dan wanita berhias di samping itu menjaga fitrah wanita dan sifat-sifat kewanitaannya. Harus bagi wanita perhiasan yang diharamkan ke atas lelaki seperti memakai sutera dan barang kemas (perhiasan) yang dibuat daripada emas.

Namun, Islam melarang sesetengah bentuk perhiasan yang terkeluar daripada fitrah dan mengubah kejadian Allah yang merupakan antara jalan-jalan syaitan dalam menyesatkan manusia. Firman Allah: “Dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah) lalu mereka benar-benar merubahnya.” (Al-Nisa’ : 119)

Dalam sebuah hadith, Rasulullah melaknat orang yang mencucuk jarum di muka atau di tubuh kemudian meletak nila di tempat yang kena cucuk agar tidak hilang bekas berwarna hitam itu (dengan tujuan bersolek/tatoo) dan orang yang kena tatoo. Begitu juga orang yang mengikir gigi dan yang kena kikir dan yang mencukur bulu kening dan yang kena cukur dan mereka yang menyambung rambut asal dengan rambut palsu.

Tatoo ini sudah terkenal sejak dahulu lagi iaitu mengukir dengan cara mencucuk dengan warna. Adapun mengikir gigi ialah mengikir gigi dan memendekkannya dengan alat pengikir. Mencukur bulu kening iaitu menghilangkan bulu kening dengan tujuan meninggi, menyamakannya dan sebagainya.

Menyambung rambut iaitu menyambung rambut asal dengan rambut palsu seperti memakai rambut palsu yang ditanya oleh orang yang menghadapi masalah ini. Semua yang di atas adalah haram hukumnya dan Nabi melaknat orang yang melakukannya atau orang yang meminta berbuat demikian.

Dengan inilah kita dapat mengetahui hukum yang dinamakan memakai rambut palsu atau seumpamanya. Dakwaan bahawa dengan memakai rambut palsu dapat menutup aurat itu adalah tidak benar dan sesat kerana menyeleweng daripada hakikat yang sebenarnya. Penutupan aurat rambut sudah diketahui baik dari segi akal dan adat.

Rambut palsu ini adalah merupakan perhiasan yang melebihi daripada rambut asal, dimana ia merupakan penipuan dan pemalsuan. Ia juga dipanggil tabarruj dari sudut yang lain pula. Semuanya ini membawa kepada haram. Memakai rambut palsu adalah haram, walau pun dalam di dalam rumah. Lebih haram lagi jika ia tidak bertudung rambut kerana menyalahi nas yang jelas. Firman Allah, “Hendaklah kamu melabuhkan tudung kamu sehingga menutupi dada kamu” (Al-Nur : 31)

Tidak seorang pun yang menganggap rambut palsu itu sebagai tudung. Pemakaiannya adalah haram ke atas wanita, lebih-lebih lagi dipakai oleh lelaki.

 

 

Mencelup Kuku

Soalan :

 

Apakah hukum mereka yang mencelup kuku dengan bahan pewarna yang dinamakan pencelup kuku?

Jawapan :

Pencelup kuku akan menghalang air untuk sampai ke kulit, iaitu anggota wudhu. Oleh itu, tidak sah wudhunya dan tidak boleh pula mendirikan solat.

Mereka yang solat lima waktu sehari semalam mestilah berwudhu dan suci. Tidak mungkin mereka mempunyai masa untuk menghilangkan kesan pencelup kuku supaya boleh mengerjakan solat yang perlu bersuci dan bersih sebelum menyerjakannya.

*Yusuf al-Qaradhawi, Fatawa al-Mu’asarah, Jld.2, Dar al-Salam, Kaherah, 1990

 

KHITAN (BERKHATAN) WANITA

 

Soalan :

Apakah hukum Islam tentang khitan bagi anak-anak perempuan?

Jawapan :

Khitan (berkhatan) untuk lelaki adalah sunat, manakala masalah khitan perempuan telah menjadi perselisihan pendapat antara ulama. Kebanyakkan ulama berpendapat khitan bagi bayi perempuan ialah makramah (satu kemuliaan) sahaja. Disertakan di sini tulisan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawy dalam karyanya, Fatawa al-Mu’asarah berkenaan masalah ini :

Ulama telah berselisih pendapat dalam masalah ini, bahkan oleh para doktor sendiri, dan terjadi perdebatan panjang mengenai hal ini di Mesir selama beberapa tahun. Sebahagian doktor ada yang menyuruh dan sebahagian lagi menentangnya, demikian pula dengan ulama, ada yang menyuruh dan ada yang menentangnya.

Pendapat yang paling moderat, paling adil, paling rajih, dan paling dekat kepada kenyataan dalam masalah ini ialah khitan ringan (berkhatan sedikit), seperti disebut dalam beberapa hadith - walaupun tidak sampai ke darjat sahih - bahawa Nabi saw pernah menyuruh seorang perempuan yang berkerja mengkhitan wanita :

 

"Potonglah sedikit dan jangan kau potong yang berlebihan, karena hal itu akan mencerahkan wajah dan menyenangkan suami."

Yang dimaksud dengan isymam ialah taqlil (menyedikitkan), dan yang dimaksud dengan laa tantahiki ialah laa tasta'shili (jangan kau potong sampai pangkalnya). Cara pemotongan seperti yang dianjurkan itu akan menyenangkan suaminya dan menceriakan wajahnya, sebab itulah ini lebih sesuai.

Mengenai masalah ini, keadaan di masing-masing negara Islam tidak sama. Maksudnya, ada yang melaksanakan khitan wanita dan ada pula yang tidak. Walau bagaimanapun, bagi orang yang memandang mengkhitan wanita itu lebih baik bagi anak-anaknya, hendaklah ia melakukannya, dan saya bersetuju dengan pandangan ini, khususnya pada zaman kita sekarang ini.

Orang yang tidak melakukannya, tidaklah ia berdosa, kerana khitan itu tidak lebih dari sekadar memuliakan wanita, sebagaimana kata para ulama dan seperti yang disebutkan dalam beberapa athar (hadith).