Ibnu Sina
(370 H - 428 H / 980 M - 1037 M)
Kelahiran dan kehidupan beliau:
- Nama beliau ialah Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina,
manakala gelaran beliau pula ialah Abu Ali.
- Ibnu Sina dilahirkan di Afsyinah iaitu nama sebuah kampung yang terletak berhampiran
dengan Bukhara di mana kini ia yang terletak di Republik Uzbekistan.
- Ibnu Sina dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang agak teguh. Ayah beliau berasal dari
Balakh kemudian berpindah ke Bukhara pada zaman pemerintahan Al-Amir Nuh bin Mansur dan
tinggal di salah sebuah perkampungan kecil di Bukhara yang bernama Khirmithan, walau
bagaimanapun akhirnya beliau tinggal menetap di Afsyanah kerana tempat tersebut hampir
dengan tempat kerjanya. Dengan demikian bapa Ibnu Sina mampu memberikan pendidikan yang
unggul dan pengetahuan yang agak tinggi kepada Ibnu Sina dan adik-beradik beliau jika
dibandingkan dengan suasana yang ada pada masa tersebut. Bapa beliau telah menyediakan
seorang guru Al-Quran dan seorang guru kesusasteraan menyebabkan Ibnu Sina dapat menghafal
seluruh Al-Quran dalam usia sepuluh tahun.
Pengajian ilmu beliau:
- Ibnu Sina banyak mempelajari buku-buku kesusasteraan. Selepas mampu menguasai
ilmu ini beliau dihantar oleh bapa beliau kepada seseorang yang boleh mengajar ilmu
matematik kepada beliau. Kemudian Ibnu Sina mempelajari ilmu fekah, cara-cara membuat
penyelidikan dan perbahasan. Beliau juga mendalami ilmu tasawuf, mantik, falsafah malah
beliau tergolong di kalangan cendekiawan di bidang kedoktoran serta terkemuka di dalam
bidang tersebut sehingga ramai di kalangan pakar-pakar di bidang kedoktoran yang datang
mempelajari ilmu daripada beliau.
- Ibnu Sina merupakan seorang yang cekal di dalam menimba ilmu pengetahuan di mana beliau
tidak akan tidur pada waktu malam kecuali setelah beliau banyak membaca pada malam
tersebut, begitu juga beliau tidak akan tidur pada waktu siang kecuali setelah beliau
berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan pada hari tersebut. Beliau tidak pernah ketinggalan
dari menghadiri pengajian ilmu fekah dan falsafah sehingga beliau memiliki cara tersendiri
di dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
- Ibnu Sina berjaya menguasai kesemua bidang ilmu dalam usia yang masih terlalu muda di
mana ada yang mengatakan usia beliau pada masa tersebut menjangkau usia enam belas tahun
atau lapan belas tahun.
Kemasyhuran dan ketinggian ilmu beliau:
- Tatkala Al-Amir Nuh bin Mansur mengalami kesakitan, ramai doktor yang datang
mengubatinya, sehinggalah apabila beliau mendengar nama dan kemasyhuran Ibnu Sina, beliau
memerintahkan agar memanggil Ibnu Sina supaya dapat bersama-sama dengan para doktor yang
lain untuk mengubati penyakit Al-Amir. Lantas Ibnu Sina berusaha mengubati penyakit
Al-Amir sehinggalah beliau sembuh. Sebagai ganjaran di atas usaha tersebut, Al-Amir
mengizinkan beliau untuk menggunakan perpustakaan yang terdapat di Istana. Setelah itu
Ibnu Sina membaca kesemua kitab-kitab yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.
- Ibnu Sina memulakan pengembaraan beliau selepas berlaku kekacauan di dalam pengurusan
kerajaan As-Samaaniah. Lalu beliau keluar dari Bukhara menuju ke sebuah tempat yang
bernama Karkang. Ketika itu Ibnu Sina sentiasa memakai pakaian fukaha menyebabkan beliau
dihormati oleh Amir Khawarizmi. Kemudian beliau berpindah ke Jarjan dan Khurasan. Walau
bagaimanapun setelah beberapa ketika Ibnu Sina meninggalkan kedua-dua negara tersebut
menuju ke Dahastan kemudian kembali semula ke Jarjan dan bertemu dengan Juzjani. Di Jarjan
kedudukan Ibnu Sina dipandang tinggi, di mana beliau telah dilantik menjadi menteri kepada
Syamsu Ad-Daulah di negeri Hamdan sebanyak dua kali, walaupun demikian beliau tidak pernah
berhenti menulis, mengajar dan mengarang. Beliau mula mengajar murid-murid beliau pada
awal waktu malam, memberikan catatan buku yang beliau hafal kepada mereka manakala pada
waktu pagi pula beliau bertolak ke pejabat Kementerian tempat beliau tugaskan.
Karangan Ibnu Sina:
- Buku yang dikarang oleh Ibnu Sina adalah menjangkau sebanyak 250 buah termasuk kitab,
esei dan artikel di dalam bidang matematik, mantik, akhlak, fizik, kedoktoran dan
falsafah.
- Pencapaian Ibnu Sina yang dianggap paling menonjol ialah pencapaian beliau di dalam
bidang kedoktoran di mana beliau telah mengarang kitab beliau yang bernama Al-Qanun yang
menggariskan beberapa catatan terperinci seperti hubungannya dengan penyakit batuk kering,
penyakit paru-paru yang lain serta menyatakan peranan air dan debu di dalam memindahkan
jangkitan penyakit di samping mengaitkan penyakit dengan unsur-unsur psikologi, tekanan
perasaan dan beberapa penyebab penyakit yang sangat luar biasa.
- Kitab Al-Qanun telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa Eropah dan terus dijadikan
sebagai bahan penyelidikan di beberapa buah universiti di Eropah selama empat kurun
berturut-turut.
- Ibu Sina juga telah memberi sumbangan di dalam ilmu fizik sebagaimana yang ditulis di
dalam kitabnya Asy-Syifa', An-Najah dan Al-Isyarah.
Kewafatan Ibnu Sina:
- Walaupun Ibnu Sina salah seorang yang mengutamakan ilmu kedoktoran tetapi
beliau tidak mengambil berat kepada kesihatan diri beliau menyebabkan beliau menghadapi
pelbagai penyakit sehinggalah kekuatannya menjadi semakin lemah dan akhirnya beliau mati
pada tahun 428 Hijrah / 1037 Masihi di negeri Hamdan.