BAHASA MELAYU - PENULISAN
 
KARANGAN BERBENTUK UCAPAN
 
Karangan berbentuk ucapan ialah karangan yang menulis tentang ucapan seseorang di dalam sesuatu majlis.
 
Panduan Menulis :
1.         Bacalah terlebih dahulu dengan teliti rangka panduan yang diberi.
2.             Gunakan rangka panduan yang diberi itu dengan sebaik-baiknya bagi menulis             karangan.
3.             Mulakan penulisan dengan perenggan.
4.             Perenggan pertama hendaklah ditulis dengan kata-kata aluan seperti pengucapan                                                               “Selamat pagi....” , “Yang dimuliakan.....”, “Yang dihormati.....” dan sebagainya.
5.         Isi-isi ucapan hendaklah dituliskan pada perenggan yang berasingan dengan             perenggan pendahuluan.
6.         Eloklah juga menuliskan kata sebutan hormat di tengah-tengan ucapan seperti             “Tuan-    tuan dan puan-puan...”, “Para hadirin...”, dan sebagainya.
7.             Penutup karangan mestilah dituliskan dengan kata-kata ucapan seperti “Sekianlah             ucapan saya...”, “sekian terima kasih...” dan sebagainya.
 
CONTOH SOALAN :
Kamu telah dijemput untuk memberi ucapan di majlis hari jadi rakan kamu. Tulis ucapan tersebut dengan berpandukan panduan yang diberi di bawah.
 
Selamat pagi  -  rakan-rakan  -  di majlis  -   terima kasih  -  mengundang saya   -  harap berucap  -  mewakili  -  selamat hari jadi  -   panjang umur  -  sahabat yang baik   -  menolong  -   peramah  -  mudah mesra  -   tutur katanya juga lembut  -  persahabatan   -  berkekalan.
 
CONTOH JAWAPAN :
Selamat pagi kepada rakan-rakan sekalian yang hadir di majlis yang permai ini.
            Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana sudi mengundang saya untuk berucap di majlis ini.
            Saya mewakili rakan-rakan sekalian mengucapkan selamat hari jadi dan panjang umur kepada rakan kita yang diraikan , iaitu saudari Halimah. Pada hari ini genaplah sebelas tahun umur saudari Halimah.
            Rakan-rakan sekalian ,
            Saudari Halimah seorang sahabat yang baik hati dan sentiasa memberi pertolongan kepada kita semua. Saudari Halimah juga seorang yang peramah dan pemurah. Saya suka berkawan dengannya kerana tutur kata , bahasanya lembut dan bersopan-santun. Saya harap persahabatan kita dengannnya akan terus berkekalan.
            Akhirnya saya mengucapkan selamat hari jadi kepada saudari Halimah .
            Sekian , terima kasih.
 
BAHASA MELAYU - PENULISAN
JENIS : KAD JEMPUTAN
Panduan menulis :
            * Pastikan kepada siapa kad dituju.
            * Jelaskan tujuan menulis kad.
            * Perlu meletakkan tarikh , waktu , dan tempat.
            * Sertakan nama pengirim dengan huruf besar.
            * Jika kad untuk persatuan , penulis kad hendaklah berjawatan setiausaha.
            * Gunakan bahasa yang ringkas dan tepat.
            * Akhiri ucapan dengan lafaz terima kasih dan mengharapkan agar si penerima kad                   hadir.
CONTOH SOALAN :
Persatuan yang kamu anggotai akan menganjurkan pertandingan syarahan. Sebagai setiausaha , kamu diminta menyediakan kad jemputan untuk diedarkan kepada para jemputan. Sediakan kad tersebut.
            # Pendahuluan :      - Nama persatuan.
            # Isi-isi                :     - Menjemput dan mempersilakan seseorang.
                                            - Butiran terperinci seperti tarikh , waktu , dan tempat.
                                            - Tujuan diadakan pertandingan syarahan.
                                            - Mengharapkan hadir untuk memeriahkan majlis.
            # Penutup          :       - Nama pengirim kad.
 
CONTOH JAWAPAN :
PERSATUAN BAHASA MELAYU
SEKOLAH KEBANGSAAN KAMIL 3 PASIR PUTEH
16800 PASIR PUTEH
KELANTAN
 
Dengan segala hormatnya , kami menjemput dan mempersilakan Tuan / Puan ______________________________________ hadir di Majlis Pertandingan Syarahan 1996 anjuran persatuan kami.
Butir-butir lanjut seperti berikut :
                                           Tarikh     : Khamis , 30 September 1996
                                           Waktu     : 8.00 pagi - 10.00 pagi
                                            Tempat   : Dewan Besar SKK3.
 
Tujuan majlis ini adalah untuk mengcungkil bakat bersyarah di kalangan murid sekolah ini , selain mewujudkan perasaan berani peserta berhadapan dengan orang ramai.
 
Menerusi jemputan ini , sudilah kiranya tuan / puan meluangkan masa dan sekali gus memeriahkan majlis tersebut.
 
Sekian , terima kasih.
...................................
( WAN MOHAMAD ANIQ SYAMIL )
Setiausaha ,
Persatuan Bahasa Melayu.
BAHASA MELAYU - PENULISAN
JENIS : KARANGAN BERPANDU
 
Panduan Menulis :
*          Baca terlebih dahulu dengan teliti akan perkataan-perkataan , rangkai kata atau             petikan- petikan yang diberikan sebagai panduan untuk menulis karangan tersebut.
*             Panduan yang diberi hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menulis             karangan.
*             Penulisan hendaklah dimulakan dengan pendahuluan.
*           Isi-isi karangan hendaklah ditulis dalam beberapa buah perenggan bergantung kepada berapa isi yang didapati.
*           Penutup karangan hendaklah disudahi dengan perenggan yang lain.
*           Baca dan semak semula karangan yang siap ditulis. Betulkan segala kesalahan dan             kesilapan yang dilakukan.
*           Seelok-eloknya kira jumlah perkataan yang ditulis agar jumlah perkataan itu menuruti             kehendak arahan.
 
CONTOH SOALAN :
Tulis sebuah karangan. Kamu hendaklah mengakhiri karangan kamu seperti yang diberi di bawah.
 
....... Sejak keluar dari hospital , Atan berazam tidak akan lagi mengusik binatang-binatang. Sebaliknya dia ingin menjadi budak yang baik dan menghormati orang lain.
 
JAWAPAN :
 
            Atan ialah seorang budak yang nakal. Kenakalannya memang diketahui oleh penduduk-penduduk kampung. Ramai ibu bapa yang sentiasa mengadu kepada ibu bapa Atan kerana Atan selalu mengusik anak-anak mereka.
            Kegemaran yang paling disukainya ialah mengusik binatang-binatang. Ke mana sahaja dia pergi pasti ada lastik di tangannya. Kalau tidak burung dilastiknya pasti ayam , itik , lembu dan binatang-binatang lain menjadi sasarannya.
            Pada suatu petang ketika dia berjalan pulang ke rumah , Atan ternampak seekor anjing sedang tidur di bawah sepohon pokok. Tanpa membuang masa Atan terus melastik anjing tersebut. Apabila anjing itu tersedar ia terus menerkam ke arah Atan. Atan lari dan cuba memanjat pokok. Sedang dia memanjat tiba-tiba tangannya terpegang dahan yang rapuh lalu Atan terjatuh dan kepalanya berdarah. Mujurlah orang yang lalu-lalang di situ cepat menghantarnya ke hospital.
            Sejak keluar dari hospital , Atan berazam tidak akan lagi mengusik binatang-binatang. Sebaliknya dia ingin menjadi budak yang baik dan menghormati orang lain.
 
 SOALAN :
Tulis sebuah cerita. Kamu hendaklah memulakan cerita kamu seperti yang diberikan di bawah ini.
            Hock Seng terkejut daripada tidur. Jam dinding menunjukkan pukul 7.35 pagi. Dia pun bergegas bangun.........