TATASUSILA PROFESION
PERGURUAN MALAYSIA
Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama
pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat
setia, yang bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha
menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang dan yang percaya
demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Melalui
pendidikan, masyarakat dapat membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka, memperolehi
pengetahuan yang terkumpul sejak zaman berzaman dan menyediakan mereka untuk menghadapi
cabaran pada masa hadapan.
Dengan
menyedari betapa besarnya tanggungjawab untuk membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan
sepenuhnya, kami menyempurnakan profesion kami ke taraf kesusilaan yang
setinggi-tingginya.
TANGGUNGJAWAB
TERHADAP PELAJAR
- Lebih
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar-pelajar kami dari hal-hal lain.
- Bersikap
adil kepada pelajar-pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik,
ekonomi, keturunan atau agama.
- Merahsiakan
ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
- Membimbing
atau mengajar seseorang pelajar dalam darjahnya sendiri atau dalam
matapelajaran-matapelajaran yang diajar dalam bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
- Menunjukkan
suatu cara berpakaian, tutur kata dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik
kepada para pelajar.
- Memelihara
dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan
menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran kami
mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
TANGGUNGJAWAB
TERHADAP IBUBAPA
- Menghormati
tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
- Berusaha
mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan
rumah tangga.
- Menganggap
semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah tangga atau mengenai
anak mereka sebagai sulit dan tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada
mereka yang berhak mengetahuinya.
- Memberikan
maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat
daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
- Mengelakkan
diri dari menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar.
- Mengelakkan
diri dari mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang menjejaskan kepercayaan
pelajar terhadap ibu bapa mereka.
TANGGUNGJAWAB
TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA
- Mengelakkan
diri dari menyebarkan suatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat
atau negara, ataupun yang bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
- Memupuk
dalam diri setiap pelajar dengan sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka
untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang
yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan budaya, keturunan dan agama.
- Menghormati
masyarakat tempat kami berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang warganegara
dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
- Menggalakkan
kerjasama dan persefahaman di antara guru dan ibu bapa, institusi pendidikan dengan
masyarakat.
- Memberikan
sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan
masyarakat.
- Berpegang
kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjadi kehidupan kami
sehari-hari dengan baik.
TANGGUNGJAWAB
TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION PERGURUAN
- Mengelakkan
diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik
seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa atau membuat sesuatu yang boleh
menjatuhkan maruah seseorang guru.
- Tidak
melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami sebagai
guru.
- Berusaha
dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan bersungguh-sungguh
dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
- Sentiasa
bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu dalam profesion
perguruan.
- Sentiasa
mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
- Akan
menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.
